Pakar Kimia Kongsi Petua Bersihkan Papan Pemotong Tanpa Menyental

PAPAN pemotong antara peralatan penting semasa di dapur.

Namun tanpa kita sedari papan pemotong merupakan alat penggunaan dapur yang paling kotor.

Jika tidak dibersihkan dengan betul dan sekerap mungkin, alatan tersebut boleh menjadi ‘sarang’ kepada ribuan jenis kuman.

Jadi usah pandang ringan penjagaan papan pemotong yang menjadi alatan asas untuk penyediaan makanan kita seisi keluarga.

Justeru Dr Fatimah Salim yang juga pakar kimia berkongsi tentang petua dan cara membersihkan papan pemotong dengan mudah tanpa perlu menyental alatan itu.

Dr Fatimah berkongsi petua mudah untuk membersihkan papan pemotong jenis plastik.

Menurut beliau bahan asas utama yang diperlukan untuk membersihkan alatan tersebut adalah cecair peluntur Clorox.

Cara-caranya:

• Lap dan keringkan permukaan yang perlu dibersihkan.

• Tuangkan cecair peluntur Clorox secara perlahan-lahan pada bahagian papan pemotong yang kotor. Pastikan seluruh permukaan yang mengandungi kotoran degil berjaya dibasahkan. Boleh gunakan sudu keluli tahan karat untuk ratakan.

• Tinggalkan selama 30 minit untuk tindak balas yang optimum. Atau lebih lama bergantung kepada hasil yang diperolehi.

• Cuci dan rendam papan pemotong seketika sehingga bau cecair peluntur hilang. Ini untuk memastikan tiada cecair peluntur yang tertinggal pada papan pemotong. Gunakan seperti biasa.

Ramai ambil ringan penjagaan papan pemotong yang juga peralatan utama semasa di dapur.

Pada masa sama beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa menggunakan cecair peluntur dalam keadaan pekat.

“Jika terkena kulit, segera basuh dengan air. Sila tutup mulut dan hidung dengan kain atau topeng kerana cecair peluntur mudah meruap dan menghasilkan bau yang kuat.

“Pastikan aktiviti ini dibuat dalam ruang yang mempunyai pengudaraan yang baik contoh ruang terbuka atau ada tingkap,” katanya.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber: Facebook Dr Fatimah