Padah Jual Beli Lembu Curi, Seorang Lelaki DiDenda RM3,000

LELAKI warga Indonesia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada awal bulan lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahyar, 42, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi dengan sengaja melupuskan suatu harta iaitu seekor lembu jantan milik seorang lelaki berusia 39 tahun.

Tertuduh didakwa mengetahuinya sebagai harta curi dengan menjualnya kepada seorang lelaki berusia 36 tahun dengan harga RM2,700.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di kebun getah di Kampung Kelubi, Jasin pada 11.30 pagi, 8 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman denda dikenakan kepadanya kerana kehidupannya susah dan mempunyai tanggungan anak serta isteri.

Sementara itu, pada prosiding itu juga seorang lagi tertuduh, Mazli Bakar, 53, yang juga seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli dan kemudiannya mencadangkan jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Izzuddin Ab Malek merayu agar jumlah jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya itu hanya berpendapatan kira-kira RM1, 400 sebulan selain mempunyai tanggungan anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Mohamad Izwan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 selain menetapkan 1 September depan tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

sumber : HarianMetro