Noorkhiriah Wakafkan MPV Sebagai Van Jenazah

MAHU jadikan sumbangan kecilnya itu sebagai bekalan akhirat, pelakon Noorkhiriah mewakafkan kenderaan pelbagai guna (MPV), jenama Hyundai miliknya sebagai van jenazah.

Menurut Noorkhiriah, dia rela hati melepaskan kenderaan kesayangannya itu dengan harapan sumbangan tersebut mampu memberi manfaat kepada orang lain kelak.

“Alhamdulilah lepaskan kerana Allah… akak sayang, maka akak jadikan kereta ini van jenazah. Bagi yang memerlukan dialu-alukan, perkhidmatan percuma.

“InsyaAllah dah siap sepenuhnya nanti akak beritahu, terima kasih kepada yang menyumbang… tiada upaya melainkan dengan izin Allah.

“Melangkah dengan yakin dengan apa yang akan dibuat ini… mohon doakan akak, bohong akak cakap kalau tak takut van jenazah… akak tak kaya tapi sebelum meninggal akak nak tinggalkan sesuatu buat semua,” katanya.

Noorkhiriah jadikan keretanya van jenazah dan boleh digunakan secara percuma.

Pelakon drama Nur ini berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instagram pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Noorkhiriah berharap dia terus istiqamah dalam melakukan amal kebajikan dan kebaikan seperti dituntut dalam Islam.

Malah, dia turut menyeru orang ramai berubah ke arah yang lebih baik dan tidak memandang rendah terhadap kehidupan silam orang lain.

Noorkhiriah mahu istiqamah dalam penghijrahan ke arah lebih baik.

“Jangan kira dosa pahala orang lain… semoga kita istiqamah dalam perjuangan diri sendiri. Hidup ini proses, bagi peluang kat diri sendiri… jangan tengok orang lain sebab tak ada satu pun yang sama dengan sesiapa, yang menulis ni haru-biru lagi tapi syukur bila Allah dah bagi.

“Tak perlu jadi orang lain, kekal je apa yang ada cuma hidupkan proses, kalau dulu terselak sana-sini, sekarang tutuplah. Mungkin yang muda tak rasa lagi tapi berdoalah bila tua ada rasa malu… harap sempat!

“Kita berhak merubah diri kita sendiri… perlahan-lahan InsyaAllah istiqamah, tak mudah dan tak susah kalau betul-betul nak berubah, kongsi kebaikan bukan bermakna dah baik tapi jangan pandang siapa yang menyampaikan tapi dengar apa yang disampaikan, tiap manusia ada sisi gelap, maka jom la putihkan tanpa merendahkan sesiapa,” ujarnya.

Sumber: IG Noorkhiriah via mStar