Mufti Wilayah Beri Pandangan Sumpah Laknat Dalam Masjid

Isu berkaitan sumpah laknat telah dibangkitkan, bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya bagi seseorang. Berikutan daripada itu, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mendapatkan mencerahan dan pandangan berkaitan sumpah mubahalah.

Sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali dalam bab li’an. Manakala mubahalah dalm Surah Ali Imran ayat ke-61 dimana ia tidak merujuk kepada sistem perundangan islam, sebaliknya ianya dikategorikan dalam bab sumpah dalam perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah yang palsu.

Perkara ini pernah direkodkan berlaku antara Rasulullah SAW dengan golongan bukan Islam, dan kes perbezaan pembahagian harta pusaka yang berlaku pada zaman sahabat.

Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di Mahkamah. Bahkan proses keadilan di Mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dn pembuktian di hadapan hakim.

Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh qadhi atau hakim. Ianya dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukan dan keterangan saksi didengar.
Ia disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut dimana pembuktian adalah tanggungjawab pihak pendakwa, manakala sumpah penafian adalah tanggungjawab orang yang didakwa.
Antara fungsi dan peranan masjid di dalam Islam adalah:

  1. Tempat pembinaan kerohanian.
  2. Tempat pengukuhan sosial umat Islam.
  3. Tempat Pembelajaran dan pendidikan.
  4. Tempat meleraikan permasalahan kehidupan seperti isu perundangan dan lain-lain.
  5. Tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.
  6. Tempat penyampaian arahan pemerintah. (Lihat Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili, 1/217-219)

Pada masa kini, telah wujudnya Mahkamah untuk menyelesaikan isu perundangan . Justeru, kami berpendapat bahawa mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah, jika diperlukan.

Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) wajar mewujudkan dan menguatkuasakan apa-apa peraturan yang melarang apa-apa amjlis yang berkaitan dengan sumpah atau sumpah alknat yang melibatkan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Berkenan isu sumpah dan mubahalah, pihak kami akan menerbitkan satu Bayan Linnas khas dengan tajuk Mubahalah: Fiqh dan Isunya dalam masa terdekat.

 


Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan