BUNYI macam langsuir menangis !!!
Itulah gambaran sebenar keadaan bunyi mesin basuh milik seorang wanita yang dikatakan turut “menyeramkan” jiran-jiran sekeliling.
“Laki aku kata kalau video ni masuk #FYP dan dapat 5k love dia nak belikan mesin basuh baru” tulisnya, disertakan dengan video bunyi yang dilakukan mesinnya ketika digunakan.
Sehingga kini video perkongsiannya di laman TikTok itu melebihi 600, 000 tontonan dan lebih 70, 000 tanda suka.
Bercakap kepada media pemilik mesin basuh tersebut ialah Nik Hasmira Nik Yahya, 34 berkata mesin basuh tersebut dibeli suaminya di awal perkahwinan mereka iaitu kira-kira lapan tahun lepas.
“Mesin tu suami beli dekat kedai bundle tapi Alhamdullilah sampai hari ini masih elok boleh dipakai walaupun dah hampir lapan tahun.
“Cuma sekarang kalau guna dia akan keluarkan bunyi macam languir menangis, ” katanya sambil seloroh
Hasmira yang membahasakan dirinya sebagai Erra berkata untuk tidak menakutkan jiran tetangganya, dia memilih untuk tidak membasuh pakaian pada waktu malam.
“Saya memang tak akan basuh kain malam-malam sebab pernah terdengar jiran cakap takut sangat dengar macam bunyi hantu, ” ceritanya.
Mesin basuh yang dibeli secara secondhand ini masih boleh digunakan.
Menurut Erra dia juga tidak menyangka bahawa perkongsiannya itu berjaya menarik perhatian suaminya Rosli, 46 dan terus membelikannya mesin basuh baru.
“Saya saje je buat caption macam tu, tak sangka pula petang tu suami bawak balik mesin baru sebab dia follow juga TikTok saya mungkin dia kesian tengok.
“Sekarang Alhamdullilah boleh basuh kain dengan tenang, ” katanya.
Perkongsian Erra turut menarik perhatian suaminya yang kemudiannya menghadiahkan dia sebuah mesin basuh baru.
Menurut Erra mesin basuh lamanya itu masih disimpan kerana nilai sentimentalnya melebihi segalanya.
Tambahnya mesin tersebut telah cuba diperbaiki beberapa kali namun ia tetap mengeluarkan bunyi seakan-akan “langsuir menangis”.
“Mesin basuh menangis tu saya masih simpan dekat luar, saya guna untuk basuh kain-kain buruk.
“Sayang sebab kenangan yang ada dan kebetulan mesin tersebut memang masih boleh digunakan.
“Cuma saya akan elak guna waktu malam, takut nanti tak pasal-pasal bomoh datang cari hantu menangis, ” ujarnya yang berasal dari Besut, Terengganu.
sumber : mStar