Kucing Dikuarantin Selepas Positif Covid-19

SEEKOR kucing diarahkan menjalani tempoh kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 semasa berkunjung ke sebuah klinik veterinar.

Timbalan Ketua Perkhidmatan Veterinar Kebangsaan Rusia, Nikolai Vlasov berkata kucing tersebut didapati positif jangkitan itu selepas menjalani ujian swab.

Kucing itu kemudiannya dihantar pulang dengan pemiliknya diarahkan mengurung haiwan itu di kediamannya.

Meskipun dikuarantin, Vlasov menegaskan tiada langkah khas yang perlu dilakukan kerana tiada bukti bahawa kucing boleh menyebarkan jangkitan tersebut kepada manusia.

“Sekarang tiada sebab untuk mengambil langkah-langkah khas mengenai haiwan peliharaan atau binatang buas yang boleh membahayakan kesihatan mereka, atau mungkin memberi kesan negatif kepada biodiversiti,” katanya.

Satu kajian saintifik yang diterbitkan oleh Jurnal Perubatan New England awal bulan ini menunjukkan bahawa kucing boleh menjangkiti antara satu sama lain dengan pandemik itu tetapi mereka tidak mungkin jatuh sakit.

Kesemua kucing yang diperiksa sebagai sebahagian daripada kajian itu didapati bebas virus tersebut dalam tempoh enam hari.

Sumber: DailyStar