ISU Mempertikaikan Titah Sultan Johor : Ibu Neelofa DiPanggil Polis Untuk Beri Keterangan

SEJAK semalam hangat diperkatakan mengenai perkongsian ibu selebriti popular Neelofa iaitu Datin Noor Kartini yang dipercayai mempertikaikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Terbaru, Polis Selangor akan memanggil Noor Kartini untuk memberi keterangan berhubung hantaran tersebut. Polis juga akan memanggil pekerja wanita yang dikatakan mempunyai akses Instagram ibu selebriti itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kes itu sebelum ini disiasat polis Kuala Lumpur, namun ia diserahkan kepada pihaknya kerana insiden berlaku di Selangor.

“Saya dimaklumkan wanita itu membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan percakapannya sudah direkod oleh polis di kontinjen berkenaan.

“Namun, kes itu kini diserahkan kepada polis Selangor dan sebab itu, wanita berkenaan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Kita juga akan memanggil individu lain termasuk kakitangan wanita yang dikatakan mempunyai akses membuka laman Instagram milik ibu selebriti itu dan membuat hantaran berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Noor Kartini tampil menjelaskan situasi sebenar ianya merupakan kecuaian salah seorang pekerja yang menguruskan media sosialnya itu.

Malah, wanita bernama Zulshafiqah Zulkafli itu turut memohon maaf serta mengakui tersilap memuat naik perkongsian berkenaan dan menjelaskan penulisan itu bukanlah ditulis olehnya mahupun Noor Kartini tapi diambil daripada sumber lain sebagai rujukan sahaja.

sumber : rotikaya, lobakmerah