Hati Azhan Rani Berbunga-bunga Ditegur Nash Di Kedai Makan

PELAKON Azhan Rani terkejut ditegur vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nash di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor.

Azhan, 44, berkata pada mulanya dia tidak mengenali individu yang memerhatikan gerak gerinya dan mereka hanya berbalas senyuman sebelum namanya disebut oleh Nash.

Menurut Azhan, penyanyi itu juga memanggil dia dengan gelaran ‘ustaz’ kerana meminati lakonannya dalam drama Nur.

“Lepas sarapan di sebuah restoran di Shah Alam, susuk tubuh dalam gambar ni sedang perhatikan aku… dia senyum saja.


Azhan Rani berkongsi momen bertemu dengan Nash Lefthanded di Instagram.

“Aku senyum balik, lepas tu dia sebut nama aku… terus tak terkata.

“Baru aku perasan ini bukan sebarang orang… dia legenda, Datuk Nash Lefthanded.

“Dia panggil aku ustaz… dia follow drama Nur katanya,” tulisnya.

Azhan mengakui teruja dapat bersemuka dengan Nash dan menganggap kumpulan rock Lefthanded antara legenda terkenal sekitar tahun 80an.

Azhan popular menerusi lakonannya dalam drama Nur.

Kaset, poster majalah dan rambut panjang antara memori yang paling diingati Azhan pada ketika itu.

“Allahuakbar berbunga-bunga rasanya kerana mereka antara kumpulan rock gergasi zaman rockers dulu… zaman aku la.

“Daripada zaman kaset, jeans ketat, rambut panjang mengurai, zaman poster URTV penuh dengan gambar-gambar rockers, ” ceritanya penuh teruja.

Selain itu pelakon filem Hantu Rumah Sakit Jiwa ini turut memuji sifat rendah diri Nash kerana sudi menegurnya.

Dalam pada itu, Azhan berkata selepas bertemu dengan Nash, dia sempat menyanyikan lagu-lagu Lefthanded semasa dalam perjalanan ke set penggambaran.

“Datuk Nash memang antara penyanyi rock paling aku kagum. Suara rock yang tiada klon langsung pada aku di tanah air ini… humble gila dia tadi.

“Lepas jumpa dia tadi aku terus ride ke set sambil feeling rock nyanyi balik lagu-lagu evergreen Lefthanded.

“Terima kasih kerana menyantuni saya tadi Datuk Nash. Semoga terus sihat dan saya dapat menonton konsert Datuk nanti,” katanya.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber: IG Azhan Rani