GAGAL Patuhi SOP – Siti Nurhaliza Dato’K DiKompaun

PENYANYI Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika mengadakan majlis tahnik anak keduanya yang berlangsung pada hujung bulan lalu.

Selain Siti dan suami turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 seorang ialah tetamu pasangan itu iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan tiga penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

“Tiga anak lelaki Khalid Mohamad (Datuk) turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 seorang.

“Kami menerima laporan berhubung perkara ini pada 3 Mei lalu. Laporan pelanggaran SOP ini sudah pun selesai dan telah dihantar kepada Pejabat Pendakwa Raya.

“Mereka kemudian menetapkan kompaun itu kerana kesalahan gagal mengamalkan penjarakkan fizikal semasa majlis itu berlangsung,” katanya.

Menerusi laporan media sebelum ini, Siti menjadi perhatian umum selepas majlis tahnik yang diadakannya pada 26 April lalu dipertikai netizen di kala negara masih lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang apabila terdapat beberapa tetamu undangan dibenar merentas negeri untuk menghadiri majlis tersebut.

Siti melahirkan anak keduanya, Muhammad Afwa pada 19 April di sebuah pusat perubatan swasta di Selangor.

sumber : mStar