China Beidou Bakal Beri Saingan Kepada Sistem GPS

Setiap negara mempunyai polisi serta dasar yang menghalang penggunaan teknologi tertentu dari digunakan. Salah satu contoh adalah China yang mengawal penggunaan perkhidmatan dan kandungan luar dari digunakan rakyat mereka.

Melihat kepada perkembangan terbaru, negara tembok besar itu mungkin akan beralih kepada sistem penentududukan sejagat mereka yang tersendiri. Ia disebut sebagai alternatif kepada GPS  sedia ada yang dikendalikan oleh Amerika Syarikat.

Menurut laporan daripada Nikkei Asian Review, dua satelit terakhir akan dilancarkan sekitar Jun 2020 nanti dimana ia bakal melengkapkan sistem pengoperasian Beidou. Rangkaian Beidou ini dikatakan merupakan asas kepada perancangan jangka masa panjang China dalam meluaskan lagi dominasi perkhidmatan telekomunikasi generasi akan datang.

Difahamkan lagi, sejumlah 70% pengguna telefon pintar China berpotensi untuk menggunakan sistem tersebut. Laporan turut menyatakan Beidou sedia menjalin kerjasama bersama 120 rakan kongsi yang berkaitan dengan perjanjian dibawah inisiatif infrastruktur Jalur dan Jalan China.

Pada awalnya Beidou dibangunkan untuk ketenteraan China dalam mengurangkan kebergantungan kepada GPS, namun peluang untuk mengkomersialkannya mula dilihat setelah liputan sistem itu semakin meluas.

Perkhidmatan bagi kegunaan domestik sudah dimulakan sejak tahun 2000 dituruti pula dengan rantau Asia Pasifik pada 2012. Menjelang 2020 rangkaian 35 satelit China itu dikatakan mampu menyaingi GPS kendalian Amerika Syarikat.

Sumber: Nikkei Asian Review